21 Januari 2010

TIPS PENGURUSAN KELAS

Kali ni saya mahu berkongsi dengan anda tentang tips untuk cikgu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa menurut pandangan Dr. Fred Jones :

1. Wujudkan minat dalam diri anda terhadap pelajar.
Guru perlu memiliki minat yang tulen terhadap pelajarnya. Terdapat dalam keadaan tertentu, guru memaksa diri untuk cuba meminati pelajar-pelajar di dalam kelas yang dianggap sebagai ‘bermasalah’, namun lama-kelamaan perasaan itu menjadi sesuatu yang benar, tulen dan ikhlas. Dengan itu cikgu akan kerap memberikan pujian dan kata-kata peransang kepada pelajar-pelajar. Guru juga harus kerap berkomunikasi/berinteraksi dengan pelajar secara individu dan bukan hanya berkumpulan sahaja.

2. Nyatakan peraturan kelas dengan jelas.
Guru perlu melaksanakan peraturan kelas dengan adil dan konsisten. Terangkan peraturan-peraturan di dalam kelas semasa guru mengajar.

3. Cuba fahami pandangan pelajar.
Cikgu perlu meletakkan dirinya sebagai pelajar dan cuba melihat sesuatu dari sudut pandangan pelajar. Jika mereka nampak boring semasa kita sedang mengajar, ubah strategi atau kaedah. Jangan terikat dengan buku rancangan mengajar. Itu cuma "rancangan".

4. Guru juga manusia.
Oleh itu, seharusnyalah sebagai seorang guru mengaku kesilapan yang mungkin dilakukan ketika menjalankan tugas. Gunakan pendekatan humor jika perlu bagi menarik perhatian pelajar dan mengurangkan ketegangan. Tapi ketegasan juga perlu semasa mengajar untuk kawalan disiplin.

5. Minimumkan jurang atau jarak dengan pelajar.
Sentiasa duduk di meja guru atau berdiri di belakang pelajar hanya mewujudkan jurang antara guru dan pelajar. Pelajar akan membuat tanggapan bahawa cikgu sengaja tidak mahu mendekati mereka. Selalulah keliling kelas semasa mereka melakukan aktiviti. Semak secara spontan kerja mereka dari segi ejaan, tulisan dll.

6. Selesaikan masalah pelajar dengan segera.
Ini dapat mengelakkan sesuatu masalah itu ‘berjangkit’ dan berlanjutan sehingga mungkin menyulitkan keadaan. Kenalpasti kemahiran mana murid tidak menguasai. Lakukan sesuatu untuk mengatasi masalah itu.

7. Gunakan kaedah berkumpulan (collaborative).
Guru memberikan peluang kepada pelajar membuat keputusan di dalam kelas. Berikan kefahaman kepada pelajar bahawa kelas itu adalah ‘kelas kita’ dan bukan ‘kelas saya’. Wujudkan sikap kekeluargaan di dalam kelas.

Suasana kondusif sangat penting untuk mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.