22 Januari 2010

PROGRAM PEMULIHAN KHAS

PENGENALAN
Pendidikan peringkat rendah ialah pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, emosi dan jasmani selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara. Penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) perlu dikuasai pada peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan.
Justeru, Program Pemulihan Khas mengutamakan prinsip “menyelesaikan masalah seawal mungkin” supaya tidak menjadi kronik dan berterusan hingga ke tahap 2 persekolahan rendah atau ke peringkat persekolahan menengah rendah.

Perbezaan minat, pengalaman, bakat dan gaya belajar individu murid mengakibatkan segolongan mereka tercicir atau terbelakang menguasai sesuatu kemahiran berbanding rakan sebayanya. Sekiranya mereka tidak diberi pengajaran pemulihan, mereka mungkin gagal memperolehi pendidikan yang perlu dan potensi mereka akan terbenam. Justeru, melalui Program Pemulihan Khas keperluan-keperluan murid yang mempunyai pencapaian yang rendah akan dikenalpasti dan dipulihkan.

KONSEP
Program Pemulihan Khas ialah satu usaha mengatasi masalah murid yang menghadapi kesulitan pembelajaran khususnya dalam menguasai kemahiran asas 3M

MATLAMAT
Program Pemulihan Khas disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran-kemahiran asas 3M yang belum dikuasai dalam tempoh masa yang ditetapkan.

OBJEKTIF
Setelah mengikuti program ini dalam jangka masa yang ditentukan murid boleh:
a. Menguasai kemahiran asas 3M.
b. Meneruskan pembelajaran di kelas biasa.
c. Menambah sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran.